Itinerary Percutian di Penang 2 Hari 1 Malam

Dalam hati sebenarnya nak bercuti ke Krabi atau ke Jakarta tapi apa kan daya sebab Lisa sekarang tengah sarat mengandung dan doktor pun dah nasihatkan pada usia kandungan sekarang sebenarnya tidak sesuai lagi untuk naik kapal terbang dan tambahan pula Lisa pula pernah alami pengalaman buruk iaitu gugur selepas naik kapal terbang pada usia kandungan baru mencecah 6 minggu. Oleh itu, Lisa dan suami decide untuk bercuti dalam negara sahaja dan di sebelah pantai barat sebabnya bila hujung tahun negeri sebelah pantai timur (Kelantan,Terengganu dan Pahang) selalu cuacanya tengkujuh dan hujan, maka kami tak nak ambil risiko untuk melalui musim tengkujuh. Kami bersepakat untuk bercuti di Penang dan kebetulan suami dan Fareeq belum pernah lagi bercuti di Penang. Entry post kali ni Lisa kongsikan dengan anda tentang hotel atau tempat penginapan best di Penang, tempat menarik di Penang serta tempat makan best di Penang. Supaya anda dapat merancang percutian anda di Penang dengan baik dan penuh keseronokan bersama keluarga.



3 hari sebelum kami bercuti di Penang, Lisa dan suami menempah tempat penginapan di sana. Seperti biasa website kegemaran kami untuk menempah hotel atau tempat penginapan adalah di Airbnb dahulu kemudian jika ada tempat penginapan yang tidak berkenan di hati barulah kami akan pergi ke Agoda dan Trivago.com ataupun Booking.com.

 

Artikel Berkaitan: Bagaimana kami mendapat penginapan percuma ketika travel

 

Kami lihat ada sebuah rumah kondo yang terdapat di Straits Quay sangat cantik dan mewah. Disebabkan percutian kami lebih kepada santai dan relaks, kami mahukan tempat penginapan yang ala-ala mewah dan boleh lihat pemandangan laut. Jika anda mempunyai citarasa sama dengan kami maka Lisa sangat sarankan anda memilih kondo di Straits Quay. Bila anda masuk di sini, seperti anda berada di luar negara seperti di Dubai dan di Qatar, kerana dekorasinya sangat mewah dan cantik. Dan yang paling best adalah rumah ini menghadap pantai. Sangat menenangkan jiwa dan terasa sangat relaks sekali.

 

Di bawah kondo ini terdapat shopping mall, restoran, kedai runcit serta di hadapannya adalah tempat pelabuhan kapal mewah yang di panggil The Straits Quay Marina. Jika anda merancang untuk menyambut hari jadi atau sambut anniversary secara mewah  di atas kapal persendirian, maka anda boleh buat booking di website ini.

Ini adalah pemandangan di waktu malam di pelabuhan mewah The Strait Quay Marina,Penang. Lebih 15 buah kapal mewah berlabuh di sini.

Pada waktu malam, anda boleh menikmati pemandangan laut serta melihat kapal mewah di atas sambil menikmati secawan kopi di tepi cafe tersebut.

Jika anda yang ingin menempah unit yang kami menginap ini, anda boleh klik di sini Luxury Seaview Suites in Penang Straits Quay

atau

Boleh juga klik di sini Luxury Suite at Penang Straits Quay tetapi unit ini tidak menghadap laut sepertimana unit kami menginap.

Itinerary ringkas Percutian di PENANG 2 hari 1 Malam

Kami tiba di Penang lebih kurang pukul 12.30 tengahari, bertolak dari Selangor.

Kemudian kami terus makan tengahari di Nasi Kandar Hameediyah. Nasi Kandar Hameediyah ni antara restoran Nasi Kandar yang terkenal di Penang kerana kesedapannya. Lisa ada search di google beberapa restoran Nasi Kandar di Penang, tetapi restoran nasi Kandar ini sahaja yang mendapat review yang bagus dari segi sedap dan kebersihan. Maklumlah suami Lisa jenis yang agak fussy sikit mengenai soal kebersihan. Jadinya, Lisa memang particular bab mencari restoran yang bersih tetapi pada masa yang sama sedap digemari ramai.

Kedudukan restoran Nasi Kandar Hameediyah ini agak tersorok sedikit, maka anda perlu alert dengan signboard restoran di tepi kedainya.

Pemandangan di hadapan restoran tersebut, ala-ala chinatown.

Beratur panjang, tetapi jangan risau service di sini agak laju.

Ketam, udang, ayam memang menyelerakan. Nak ikutkan hati, nak ambil je semua yang ada di atas meja.

Ini antara lauk pauk yang anda boleh pilih,mereka akan bantu anda untuk mengambilnya.

Lihatlah hasil tangkapan kami. Cara nasi kandar memang standard iaitu kuah agak banjir dalam pinggan tetapi anda boleh request untuk kurangkan kuantiti kuah tersebut.

Selesai makan, kami terus check in di kondo di Straits Quay yang terletak tidak jauh dari bandar Georgetown ini. Kami istirehat dan pada pukul 6.00 petang kami keluar untuk bersiar-siar di kawasan Pulau Pinang. Sebenarnya, banyak tempat menarik yang boleh anda lawati di Penang dan termasuklah tempat bersejarah, tempat untuk sukan dan rekreasi, tempat kanak-kanak serta tempat untuk mengambil gambar yang cantik.

Pada pukul 7.00 malam kami terus pekena makan pasembor di Gurney Drive Penang. Di sini terdapat stall kecil yang menjual pasembor, char kue teow, mee udang, sate dan sebagainya. Ia ada dua bahagian iaitu satu bahagian stall makanan cina dan satu lagi bahagian stall makanan halal.

Banyak sangat pilihan pasembor yang boleh dipilih dan mebuatkan anda rambang mata. Anda boleh pilih dan selepas penjual memotong semua bahan-bahan yang telah anda pilih, kemudiannya barulah anda tahu berapa total harga perlu di bayar. Banyak sungguh pasembor ni. Inilah makan malam kami. Memang mengenyangkan.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Pasar Malam Batu Feringghi untuk beli souvenir. Pasar malam ini dibuka setiap malam dan kedudukannya adalah sepanjang jalan di sekitar Batu Feringgi. Anda yang bawa ank kecil perlu sentiasa berhati-hati kerana pasar malam ini terletak betul-betul sebelah jalan raya.

Antara barangan dan souvenir yang dijual adalah keychain, baju bertulisan Penang, handbag, perhiasan dinding serta banyak lagi souvenir yang boleh anda beli untuk dibawa pulang.

Baju yang Fareeq pakai ni antara tshirt souvenir yang kami beli di Pasar Malam Batu feringghi. Baju ni beli sepasang dengan papanya sekali.

 

Dalam pukul 10 malam, kami pulang ke kondo dan berjalan-jalan sekitar Strait Quay dan membeli sedikit makanan untuk Fareeq.

Pada keesokan harinya, selepas check out kami terus menuju restoran untuk sarapan pagi. Kali ni pilihan restoran Lisa adalah Roti Canai Tranfer. Ia dipanggil roti canai transfer kerana terletak di Transfer Road, Penang. Di sini, pelanggan memang ramai dan tak putus-putus. Service nya agak cepat.

Inilah roti canai transfer. Agak unik juga penyediaannya. Kuah banjir dan ada ayam seketul di atas roti canai tersebut. Sejujurnya, inilah pertama kali Lisa makan roti canai seperti ini. Sedap dan rasa nak tambah lagi tapi mengenangkan perut sudah kenyang maka terpaksa dilupakan nafsu makan yang tengah mengandung ni.

 

Jika anda datang ke Penang, jangan lupa aktiviti wajib yang perlu dilakukan adalah tangkap gambar di Penang Art Street. Di sini, terdapat banyak wall painting yang menarik dan cantik. Kepada anda yang pandai posing, anda memang sesuai untuk ber’ootd di sini.

 

Untuk pengetahuan anda yang baru pertama kali datang ke Penang dan ingin mengunjungi Penang Art Street, setiap wall painting ini bukan terletak di satu tempat sahaja tetapi anda perlu berjalan di sekitarnya dan ada juga yang terletak agak jauh dari satu wall painting ke wall painting yang lain. Jika anda keliru atau tidak tahu yang mana satu wall painting tersebut terletak di mana, anda boleh dapatkan peta yang mengandungi panduan wall painting tersebut DI hotel yang anda menginap atau pergi ke tourism centre  atau anda juga boleh rujuk DI SINI.

Nasihat Lisa kepada anda yang mahu mengunjungi ke sini, rancanglah pada hari biasa bukannya cuti sekolah atau hujung minggu kerana pengunjung dan pelancong sangat ramai dan anda perlu beratur untuk mengambil gambar yang cantik di setiap wall painting ini.

Disebabkan cuaca agak panas dan Fareeq dah mula gelisah, kami pun beredar dan meneruskan perjalanan ke Toys Museum yang terletak di Teluk Bugah, Penang. Lokasi Toys Museum Penang ini sebenarnya agak terpencil dan harga tiket masuk pun agak mahal sebenarnya tapi disebabkan kami telah berjanji dengan fareeq untuk bawa dia ke toys museum terpaksa kami tunaikan. Lisa rasa jika anda tidak masuk ke sini pun tidak mengapa sebabnya, toys dan wax anime yang ditontonkan hanya boleh dilihat di luar sahaja, kita tidak boleh sentuh pun. Ia terletak dalam almari plastik. Dan Lisa rasa tidak berbaloi dengan harga tiket yang dikenakan kepada pengunjung.

 

Pada hari ini adalah hari Jumaat maka selepas keluar dari Toys Museum Penang, kami terus menuju ke masjid berdekatan untuk suami Lisa tunaikan solat Jumaat dan selepas itu kami ke Bukit Bendera. Suami Lisa kata seumur hidup dia tidak pernah lagi jejak kaki ke bukit Bendera.

Kemudahan yang disediakan oleh Bukit Bendera sangat bagus contohnya ada ruangan parking kereta yang selesa, gerai-gerai makanan ringan, lift untuk OKU dan ibu bapa yang bawa stroller juga disediakan. Semasa kami naik ke atas Bukit Bendera, kami tidak perlu beratur lama untuk dapatkan train. Pengalaman yang menyeronokkan buat fareeq dan kami sekeluarga sebab dapat naik train yang kedudukannya 90 darjah dan Lisa sangat kagum dengan teknologi tersebut.

Mula-mula rasa gayat juga tapi setelah beberapa saat, barulah rasa sedikit tenang.

Banyak aktivti yang boleh anda lakukan di atas bukit Bendera Penang, antaranya adalah melihat keseluruhan bandar Penang, observation area, melawat owl museum dan cafe, taman bunga dan haiwan jinak serta sebagainya lagi. Jika anda penat, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan buggy di situ.

 

Semasa datang ke sini, Lisa sebenarnya tengah sarat mengandung maka tidak boleh jalan jauh dan agak terhad sedikit untuk melawat ke sana sini. Maka hanya beberapa tempat sahaja yang kami kunjungi.

Waktu kami turun dari Bukit Bendera,Penang, kami terpaksa beratur panjang kerana masa itu sudah mula cuti sekolah maka ramai ibu bapa bawa keluarga untuk bercuti di sini. Jika anda berkemampuan, maka anda boleh beli tiket fast track iaitu anda tidak perlu tunggu lama dan anda akan terus dapat menaiki train ke bawah.

Pada pukul 5 petang, kami menuju ke kedai yang terkenal menjual jeruk di Penang iaitu Kedai Jeruk Madu Pak Ali. Banyak sangat pilihan jeruk dan kerepek yang terdapat di sini. Anda boleh pilih mengikut berat yang ada antaranya 250gm, 500gm dan 1kilogram. Bila Lisa masuk di kedai Jeruk Madu Pak Ali ni terus rambang mata sebab Lisa sebenarnya suka makan jeruk tambahan pula waktu mengandung ni, memang rasa suka nak makan makanan masam masam manis. Inilah dinamakan rezeki ibu mengandung.

Setelah puas membeli belah di sini, kami pulang menuju ke perak tetapi sebelum itu kami sempat singgah pekena mee udang di Sungai Dua, Penang. Ini juga antara tempat makan best di Penang yang wajib anda singgah sebelum pulang ke rumah. Bila anda keluar dari highway, anda akan terus nampak sebaris panjang kiri dan kanan jalan raya terdapat restoran yang menjual Mee Udang dan anda boleh pilih restoran mana yang anda suka.

 

Kami pulang ke Perak pada pukul 9 malam dan tiba di rumah mak ayah Lisa dalam pukul 11.30 malam. Walaupun percutian di Penang hanya 2 hari 1 malam dan ia agak ringkas sahaja itinerary kami ini tetapi kami rasa sangat seronok dan puas dengan percutian ini.

Keesokan harinya, suami Lisa akan bergerak ke Selangor dan berangkat ke bumi Dubai. Pertemuan dan perpisahan antara Fareeq dan papa, antara mama dan papa merupakan asam garam kehidupan kami sebagai keluarga yang sering berhijrah ke sana sini demi mencari secebis pengalaman hidup di dunia.

Semoga perkongsian Lisa di atas mengenai itinerary Percutian di Penang 2 hari 1 malam dapat memberi manfaat kepada anda yang baru pertama kali datang ke Penang dan merancang percutian ringkas di Penang. Sebenarnya, bila kita pergi bercuti bukanlah tempoh masa menjadi ukuran untuk kita membina kenangan bersama dengan orang tersayang tetapi masa yang berharga itulah yang menjadi memori untuk kita sentiasa ingat kenangan terindah bersama mereka.

InsyaALLAH, nantikan percutian kami selepas ini. Di mana dan bila nanti Lisa akan update di entry post di sini.

Thanks for stopping by here!!!

 




6 thoughts on “Itinerary Percutian di Penang 2 Hari 1 Malam”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top